Sunday, March 2, 2008

Apa itu Koperasi?

Apa itu Koperasi?

Koperasi ialah sebuah pertubuhan sosio-ekonomi yang didaftarkan di bawah Akta 502 (Akta Koperasi 1993) Malaysia. Pertubuhan ini dianggotai, dimodali dan ditadbir oleh sekumpulan manusia berasaskan semangat dan usaha kerjasama untuk memajukan kepentingan ekonomi dan sosial anggota-anggotanya.

Dalam ertikata lain, koperasi merupakan persatuan yang menjalankan aktiviti perniagaan yang bertujuan membantu dan meringankan beban anggota-anggotanya. Selain mendapat pulangan dalam bentuk dividen, anggota-anggotanya juga menikmati harga yang lebih murah dari pasaran dan kemudahan-kemudahan khas seperti pinjaman dan sebagainya, bergantung kepada koperasi yang dianggotainya.

Sesebuah koperasi ditadbirselia oleh sepasukan Anggota Lembaga yang dilantik secara demokrasi pada Mesyuarat Agung yang biasanya diadakan selepas tiap-tiap akhir tahun kewangan sesebuah koperasi itu. Seorang Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari akan dilantik untuk mentadbir koperasi itu. Lantikan dibuat bedasarkan pada calon yang mendapat undi terbanyak. Setiap anggota berhak mencalonkan seseorang daripada kalangan anggota untuk jawatan Anggota Lembaga.

Perbezaan Koperasi dengan Syarikat Berhad

  • Sesebuah koperasi ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-anggotanya manakala tujuan penubuhan sesebuah syarikat adalah untuk mencari keuntungan semata-mata.

  • Hak milik sesebuah koperasi adalah kepada anggota-anggotanya manakala sesebuah syarikat dipunyai pemegang saham syarikat tersebut.

  • Kawalan sesebuah koperasi dijalankan bedasarkan sistem demokrasi, berasaskan kepada satu anggota, satu undi.

  • Kawalan sesebuah syarikat berhad pula dijalankan bedasarkan jumlah saham yang dipunyainya.

  • Keuntungan sesebuah koperasi dikongsi dikalangan anggota-anggotanya manakala bagi sesebuah syarikat pula, keuntungan dibahagikan antara pemegang-pemegang saham.

  • Nilai saham seseorang anggota koperasi adalah tetap dan boleh dikeluarkan semula. Saham sesebuah syarikat tidak boleh dikeluarkan semula dan nilainya tidak menentu.

  • Pertubuhan koperasi tertakluk kepada Akta Koperasi manakala syarikat tertakluk kepada Akta Syarikat.

0 comments:

Design by Dzelque Blogger Templates 2008

Design by Dzelque Blogger Templates 2008