Monday, March 3, 2008

Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MeCD)

Penubuhan MECD

Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MECD) telah ditubuhkan pada tahun 2004 berperanan sebagai agensi utama bagi pembangunan usahawan Bumiputera. Sejarah MECD bermula dengan penubuhan Kementerian Penyelarasan Perbadanan Awam (KPPA) pada tahun 1974 yang kemudiannya ditukarkan kepada Kementerian Perusahaan Awam (KPA) pada tahun 1976. KPA bertanggungjawab untuk mengawas dan menyelaras agensi-agensi perusahaan awam seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).

Penubuhan Kementerian Pembangunan Usahawan pada 8 Mei 1995 bagi menggantikan KPA bertujuan untuk memberi tumpuan dan penekanan khusus terhadap pembangunan usahawan Bumiputera untuk mempercepatkan pencapaian matlamat pewujudan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Penyusunan semula kementerian sebagaimana pada 27 Mac 2004 memperlihatkan Kementerian Pembangunan Usahawan telah diberi nama baru iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan tambahan tanggungjawab terhadap Jabatan Pembangunan Koperasi, Maktab Kerjasama Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat Berhad.

OBJEKTIF

Objektif utama Kementerian adalah untuk menyediakan persekitaran yang membantu dan menggalakkan pembangunan usahawan tulen yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing dalam semua sektor serta memupuk budaya keusahawanan dan koperasi di kalangan rakyat Malaysia.

MISI

Membantu merealisasikan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang berkualiti.

VISI

Kewujudan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera (MPPB) yang berkualiti untuk membantu mecapai Wawasan 2020.


MOTTO

"Keusahawanan Kerjaya Pilihan"

DASAR 'Q'

Untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan profesional serta menepati sasaran kerajaan ke arah menjadikan Kementerian sebagai agensi utama dalam meningkatkan pembangunan usahawan secara berterusan.

SLOGAN 'Q'

"Kualiti Penggerak Usahawan Jaya"


PERANAN

  1. Menggubal dasar pembangunan usahawan;
  2. Mewujud dan melaksanakan program pembangunan keushawanan;
  3. Menyelaras pelaksanaan dasar pembangunan usahawan di peringkat Persekutuan dan Negeri;
  4. Menjadi pemangkin dan pemudahcara kepada usahawan dan bakal usahawan memulakan perniagaan;
  5. Mewujudkan kerajsama dan jaringan strategik dengan pihak swasta di peringkat Persekutuan, Negeri dan antarabangsa;
  6. Merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti penggalakan dan pembudayaan keusahawanan;
  7. Menggalak pembangunan usahawan dalaman oleh agensi-agensi di bawah MECD; dan
  8. Mengoptimum penggunaan sumber tenaga manusia di MECD dan agensi melalui peningkatan produktiviti serta budaya kerja cemerlang.
STRATEGI PELAKSANAAN PROGRAM

Bagi mencapai matlamat untuk membangunkan usahawan, MECD telah merangka beberapa strategi yang memberi fokus kepada penyelarasan program-program pembangunan usahawan yang dilaksanakan di peringkat persekutuan, negeri dan swasta. Enam bidang utama MECD:

  • Pembudayaan Keusahawanan
    Pembudayaan keusahawanan adalah satu proses jangka panjang dan berterusan bagi menarik minat semua lapisan masyarakat menceburi bidang perniagaan. Proses pembudayaan ini merangkumi golongan pelajar di peringkat sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat umum. MECD telah menjalankan pelbagai aktiviti ke arah memupuk budaya keusahawanan seperti berikut:-
    • Program Usahawan Muda (PUM)
    • Program Pembangunan Keusahawanan di IPTA
    • Program Pembangunan Usaha Siswa (PPUS)
    • Latihan Program Mentor
    • Latihan Asas Perniagaan (LAP)
    • Latihan Keusahawanan Siswa
    • Kursus Asas Keusahawanan Siswa
    • Program Latihan Asas Perniagaan Francais bagi bakal Francaisor
    • Kursus Asas Perniagaan Francais bagi bakal Francaisi
  • Program Latihan dan Bimbingan
    Latihan dan bimbingan keusahawanan adalah merupakan aktiviti utama MECD melalui beberapa peringkat yang memberi penekanan kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran, latihan dan bimbingan bagi mempertingkatkan prestasi dan kemajuan perniagaan serta khidmat nasihat kepada usahawan menghadapi masalah dalam menguruskan perniagaan. Antara program-program yang dianjurkan adalah seperti berikut:-
    • Basic Business Training
    • Skim Latihan Bagi Kakitangan Kerajaan Mencebur Diri Sepenuh Masa Dalam Perniagaan (SLGKKDP)
    • Skim Usahawan Siswazah
    • Bengkel Keusahawanan Jangka Pendek
      1. Bengkel Pemasaran Strategik
      2. Bengkel Pengurusan Kewangan Strategik
      3. Bengkel Penyediaan Rancangan Perniagaan
      4. Bengkel Pengenalan 5S
      5. Bengkel Perakaunan Berkomputer
    • Program-program Keusahawanan Jangka Panjang
    • Program Latihan Keusahawanan Wanita
    • Latihan Peningkatan
    • Latihan Keusahawanan Kepada Penjaja dan Peniaga Kecil Di Negeri-negeri
    • Pusat Bimbingandan Khidmat Nasihat (PBUN)
    • Pusat Pembangunan Kemahiran
    • Program Latihan Francais Vendor
    • Program Latihan Usahawan Pembinaan
    • Program Latihan Usahawan Pengangkutan
  • Pembiayaan
    Kemudahan pembiayaan merupakan faktor penting dalam membantu usahawan menjalankan perniagaan. Bagi tujuan ini MECD dan agensinya telah menyediakan pelbagai skim pembiayaan.
    • Tabung Usahawan Siswazah
    • Skim Modal Asas
    • Skim Pinjaman Biasa
    • Tabung Modal Teroka Berteknologi Tinggi
    • Skim Jaminan Usahawan Kecil
    • Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN)
    • Pembiayaan Perniagaan MARA
    • Skim Pembiayaan Bersama Usahawan Menengah Bumiputera Persekutuan-Negeri
    • Skim Bantuan Pembangunan Francais
    • Skim Pembiayaan Francais
  • Penyediaan Premis Perniagaan
    Selaras dengan usaha Kerajaan menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang perniagaan , MECD melalui agensi-agensinya seperti MARA, UHB, BPIMB, PKKM dan PKEN telah menyediakan kemudahan premis kepada usahawan dengan kadar sewa yang berpatutan. Maklumat mengenai lokasi, kadar sewa premis boleh didapati dengan melayari laman web premis online.
  • Pembangunan dan Peluang Perniagaan
    Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan penyertaan usahawan dalam arus perdana pembangunan ekonomi, pelbagai program dan aktiviti dijayakan bagi menggalakkan penyertaan usahawan (lelaki dan wanita) dalam dunia perniagaan. Usaha menggalakkan penyertaan ini tidak terbatas kepada bidang-bidang tertentu bahkan meliputi seluruh bidang perniagaan dan perkhidmatan. Kerajaan, termasuk juga MECD sehingga kini telah mengenalpasti 13 bidang strategik yang wajar diceburi oleh usahawan khususnya usahawan Bumiputera. Antara bidang-bidang strategik yang dikenalpasti tersebut ialah:-
    • sektor bioteknologi dan herba
    • sektor makanan halal
    • sektor pertanian moden
    • sektor famaseutikal
    • sektor teknologi maklumat dan komunikasi
    • sektor petrokimia
    • sektor elektrik dan elektronik
    • sektor automotif
    • sektor pelancongan
    • sektor pengangkutan
    • sektor perkhidmatan
    • sektor perundingan dan profesional
    • sektor aeroangkasa
  • Promosi dan Pasaran
    MECD cuba melibatkan diri membantu usahawan mempergiatkan produk usahawan bagi menembusi pasaran bukan sahaja pasaran domestik tetapi juga pasaran global melalui pelbagai langkah meliputi e-dagang dan promosi semasa.
Maklumat lanjut sila layari : www.mecd.gov.my

Mengenai Maktab Kerjasama Malaysia

Latar Belakang



SEJARAH
Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) merupakan satu-satunya institusi pendidikan koperasi di negara ini. MKM telah ditubuhkan dalam tahun 1956 dan diperbadankan sebagai sebuah badan berkanun melalui penguatkuasaan Akta Parlimen pada tahun 1968. Melalui akta tersebut MKM telah diberi tanggungjawab sebagai sebuah institusi yang menyediakan latihan dan pendidikan koperasi untuk gerakan koperasi di negara ini. Kini, MKM telah menjadi sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


SUMBER KEWANGAN
Sebahagian besar perbelanjaan pentadbiran MKM dibiayai oleh Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi yang menerima caruman daripada koperasi¬koperasi di negara ini. Mulai 1969, koperasi-koperasi di Malaysia telah diwajibkan membuat caruman sebanyak 2% daripada keuntungan bersih kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi ini.


PERANAN MKM
Akta Maktab Kerjasama Malaysia 1968 telah memperuntukkan MKM sebagai sebuah institusi yang berfungsi untuk membangun dan mengembangkan latihan dan pendidikan koperasi di negara ini. Antara fungsi MKM ialah:

  • Mengadakan kursus yang berhubung dengan koperasi.
  • Mencetak atau menyiarkan buku-buku mengenai koperasi atau perkara yang berhubung dengannya.
  • Menjalankan penyelidikan dan memberi khidmat nasihat koperasi.
  • Menjalankan penyelidikan berkaitan koperasi.


SASARAN DAN PELANGGAN MKM

MKM menyediakan latihan kepada Anggota Lembaga, anggota dan tenaga kerja koperasi di semua peringkat untuk mewujudkan pentadbiran serta pengurusan koperasi yang beretika, cekap dan berkesan.

Selain itu, MKM juga menyediakan latihan untuk pegawai-pegawai dari Jabatan/Agensi Kerajaan yang mengawasi koperasi di bawah penyeliaannya seperti JPK, RISDA, LPP, LKIM, FELDA, FELCRA, MADA dan KADA. Tidak ketinggalan juga latihan turut diberikan kepada untuk pengurus koperasi dan pegawai-pegawai kerajaan yang menyelia koperasi dari negara-negara sedang membangun di seluruh dunia.

Oleh yang demikian, bermula pada tahun 2000, MKM telah membuka peluang kepada pelajar lepasan SPM untuk mengikuti kursus di peringkat diploma iaitu Diploma Pengurusan Koperasi. Sementara itu, sejak tahun 1998, MKM dengan kerjasama Universiti Leicester UK, telah menawarkan program PJJ untuk pengurus dan pemimpin koperasi. Ini adalah antara usaha-usaha yang dijalankan oleh MKM untuk membangunkan sumber manusia yang terlatih dan profesional dalam gerakan koperasi di negara ini.


KAMPUS CAWANGAN
Terletak di Petaling Jaya dan berhampiran dengan ibukota Kuala Lumpur, MKM mudah dihubungi dengan kemudahan pengangkutan yang sedia ada darat ataupun udara. ini memudahkan masyarakat secara umum dan gerakan koperasi khususnya untuk ke sini.

Kawasan MKM yang dihiasi seni taman yang menarik pula mewujudkan persekitaran yang tenang dan damai. Ciri-ciri yang sebegini menjadikan MKM tempat pilihan untuk mengadakan perjumpaan, mesyuarat, kursus, seminar, bengkel dan sebagainya.

Pada bulan Jun 1997 MKM telah beroperasi di Sabah dan telah menawarkan perkhidmatan di Sarawak pada September 1998.

Sunday, March 2, 2008

Dasar Koperasi Negara 2002-2010

Dasar Koperasi Negara 2002-2010

Dasar Koperasi Negara, diluluskan oleh Kerajaan pada sekitar Julai 2002 merupakan harapan dan garis panduan untuk koperator-koperator dan pihak yang ada kepentingan dalam gerakan koperasi.

Lapan strategi yang disusun diharap dapat memperkenalkan manfaat berkoperasi dan mempertingkatkan imej gerakan koperasi Malaysia pada taraf antarbangsa.

1. Memastikan prinsip dan falsafah koperasi difahami dan diamalkan dalam gerakan koperasi

Untuk meningkatkan kefahaman koperasi di kalangan anggota koperasi, menentukan koperasi berjalan mengikut prinsip dan falsafah koperasi dan menguatkuasakan perundangan koperasi dengan lebih berkesan.

  • Koperasi perlu mematuhi prinsip dan falsafah koperasi agar tidak terkeluar daripada tujuan asal penubuhannya.

  • Elemen kawalan tersendiri secara demokrasi dalam koperasi sentiasa diamalkan.

  • Prinsip kebebasan dalam urusan koperasi dikekalkan sebagai satu unsur berdikari bagi membolehkan koperasi bergerak berdasarkan perlembagaannya sendiri.

  • Koperasi yang berautonomi dan bebas akan dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan, dan

  • Memberi pengetahuan kepada semua anggota koperasi.

2. Memperkemaskan undang-undang dan peraturan-peraturan untuk membantu menggalakkan perkembangan sektor koperasi

Untuk mengadakan peruntukan dalam Akta/Peraturan Koperasi yang dapat membantu perkembangan gerakan koperasi.

  • Perlu ada peruntukan dalam status yang tidak menghalang koperasi menceburi semua jenis bidang ekonomi.

  • Mana-mana undang-undang dan dasar yang menghalang koperasi berkembang pesat hendaklah disesuaikan untuk perkembangan koperasi.

  • Koperasi haruslah mendapat pengiktirafan rasmi melalui peluang bersuara sebagai perwakilan di dalam dan di luar negara.

  • Menggalakkan penyertaan wanita dalam kepimpinan dan pengurusan koperasi, dan

  • Peranan kerajaan hanya sebagai regulator dan penguatkuasaan sahaja.

3. Mengiktiraf gerakan koperasi sebagai penggerak dan penyumbang dalam pembangunan ekonomi negara

Untuk memberi pengiktirafan kepada koperasi sebagai penyumbang kepada pembangunan negara dan meningkatkan peluang-peluang perniagaan koperasi.

  • Menerima gerakan koperasi sebagai rakan kongsi dalam arus perdana pembangunan masyarakat dan negara.

  • Memberikan komitmen dan layanan yang sama kepada koperasi sebagaimana diberikan kepada pihak swasta dan awam.

  • Membantu koperasi dalam pembangunan sumber manusia, termasuk pendidikan dan latihan dalam bidang pengurusan, keusahawanan dan ilmu serta amalan koperasi sehingga koperasi boleh berdikari.

  • Menjadikan pelajaran perkoperasian sebahagian daripada kurikulum sistem pendidikan negara, dan

  • Memantapkan kegiatan koperasi puncak dan menjadikannya penggerak koperasi-koperasi serta penghubung di antara koperasi dengan kerajaan.

4. Memperkukuh dan memperkemaskan tadbir urus, pengurusan, kewangan dan kawal selia koperasi

Untuk mewujudkan gerakan koperasi yang cekap dan berkesan dan mempertingkatkan perkhidmatan yang diberi kepada anggotanya.

  • Undang-undang kecil koperasi hendaklah menjamin akauntabiliti dan ketelusan. Peruntukan undang-undang kecil yang sedia ada perlu disemak dan dikaji dari semasa ke semasa selaras dengan kehendak anggota. Akta Koperasi hanya dipakai untuk menentukan ketelusan dan akauntabiliti dipatuhi.

  • Koperasi perlu menentukan prosedur bagi penyelesaian sebarang pertelingkahan dan prosedur-prosedur hendaklah dimaktubkan dalam undang-undang kecil,dan

  • Koperasi bertanggungjawab melatih anggota-anggota, anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman dan kakitangan mereka.

5. Mempertingkatkan sumber modal untuk membolehkan koperasi bersaing dan menghadapi persaingan

Untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan koperasi supaya dapat meningkatkan kemampuan koperasi untuk memberi perkhidmatan kepada anggotanya dan mempertingkatkan kemampuan koperasi untuk bersaing di dalam pasaran terbuka.

  • Koperasi digalakkan menambah modalnya melalui tiga cara:

    1. Penambahan syer/yuran daripada anggota mengikut peraturan yang termaktub dalam undang-undang kecil.

    2. Mendapatkan modal dari koperasi lain di dalam dan luar negara, dan

    3. Mendapatkan modal dari sumber-sumber lain dengan syarat koperasi berkenaan masih mengekalkan penguasaannya.

  • Koperasi dibenarkan membuat pelaburan dalam koperasi-koperasi lain di dalam atau luar negara tertakluk kepada undang-undang dan peraturan semasa

  • Koperasi juga dibenarkan menerima pelaburan melalui penubuhan anak-anak syarikat dengan syarat koperasi tetap mengawal pengurusan perniagaan anak-anak syarikatnya

  • Mengadakan undang-undang yang menghalang koperasi menyertai aktiviti-aktiviti yang bersifat spekulatif melalui pinjaman luar

  • Mengurangkan cukai ke atas koperasi untuk menggalakkan pertumbuhan koperasi, dan

  • Dasar penswastaan kerajaan hendaklah memberi peluang yang sama kepada koperasi sebagaimana yang diberikan kepada pihak-pihak lain.

6. Meningkatkan kerjasama di kalangan koperasi dan antara koperasi dengan pihak ketiga

Untuk memperkukuh dan mempercekapkan perjalanan aktiviti-aktiviti koperasi melalui kerjasama antara koperasi dan juga dengan pihak ketiga.

  • Mengadakan prasarana dan persekitaran yang sesuai untuk memupuk kerjasama di kalangan koperasi dan antara koperasi dengan pihak-pihak ketiga, dan

  • Menggalakkan penubuhan koperasi baru dan penggabungan koperasi dalam pelbagai bidang ekonomi.

7. Mempertingkatkan kualiti produk dan perkhidmatan secara berterusan supaya anggota sentiasa menerima produk dan perkhidmatan yang terbaik

Untuk membolehkan koperasi mengeluarkan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan-pelanggannya, mempertingkatkan keupayaan koperasi bersaing di pasaran terbuka dan memantapkan rantaian penggunaan ICT untuk memajukan gerakan koperasi.

  • Menjalankan penyelidikan dan pembangunan, dan

  • Mempertingkatkan usaha-usaha bagi membolehkan koperasi meneroka bidang-bidang baru dalam k-ekonomi, e-dagang dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semasa.

8. Menubuhkan Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK)

Untuk meningkatkan lagi kegiatan-kegiatan koperasi di negara ini dalam bidang ekonomi, menyelaraskan aktiviti-aktiviti koperasi-koperasi yang terletak di bawah kementerian-kementerian yang terlibat, menentukan strategi-strategi DKN berjalan lancar dan mendapatkan maklum balas dari kementerian-kementerian mengenai pelaksanaan program-program dan strategi-strategi dalam DKN.

MPKK adalah sebagai forum di mana wakil-wakil kementerian/jabatan kerajaan dan gerakan koperasi berbincang dan seterusnya mengambil pendirian bersama mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan koperasi supaya perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan pengawalseliaan program pembangunan lebih selaras dan berkesan.

Nilai dan Prinsip

Nilai dan Prinsip

Kedai Koperasi yang diasaskan oleh Para Perintis Rochdale mengamalkan beberapa prinsip yang juga menjadi asas kepada sesebuah pertubuhan koperasi. Seiring dengan arus perubahan semasa, prinsip-prinsip tersebut dikaji dan diperbaharui untuk mengekalkan relevansi terhadap gerakan koperasi sedunia secara keseluruhan.

Prinsip-prinsip berikut disytiharkan di Manchester, United Kingdom pada 23 September 1995.

1. Keanggotaan Sukarela dan Terbuka

Koperasi adalah sebuah organisasi sukarela, terbuka kepada sesiapa sahaja yang boleh menggunakan perkhidmatan yang ditawarkannya dan rela menerima tanggungjawab sebagai anggota tanpa mengira jantina, perbezaan sosial bangsa, fahaman politik mahupun agama.

2. Kawalan Demokrasi oleh Anggota

Koperasi adalah organisasi berasaskan demokrasi, dikawal oleh anggotanya sendiri secara melibatkan diri dengan aktif dalam membuat polisi dan keputusan. Lelaki dan wanita, yang dilantik sebagai wakil adalah bertanggungjawab terhadap anggota-anggotanya. Bagi Koperasi asas, anggota-anggota mempunyai hak mengundi yang sama (satu anggota satu undi) dan koperasi di peringkat yang lebih tinggi turut mengamalkan dasar berbentuk demokrasi.

3. Penglibatan Anggota Dalam Kegiatan Ekonomi

Anggota-anggota memberi sumbangan samarata kepada modal koperasi dan mengawalnya secara demokrasi. Sekurang-kurangnya sebahagian daripada modal tersebut adalah harta bersama koperasi. Anggota-anggota selalunya menerima gantirugi yang terhad, jika ada, keatas modal yang disumbangkan sebagai sebahagian daripada syarat menjadi anggota. Anggota-anggota menyediakan peruntukan kewangan untuk satu-satu tujuan atau kesemua tujuan yang berikut: memajukan koperasi dengan menyediakan rezab, dimana sebahagian daripada rezab tersebut tidak boleh dibahagi-bahagikan, disamping memberi faedah kepada anggota mengikut jumlah transaksi mereka dengan koperasi dan menyokong lain-lain aktiviti yang dipersetujui oleh anggota.

4. Kebebasan dan Autonomi

Koperasi adalah organisasi berdikari dan bercirikan autonomi yang dikawal oleh anggotanya. Jika mereka memasuki mana-mana perjanjian dengan lain-lain organisasi, termasuk dengan kerajaan, atau menambah modal daripada sumber luar, mereka berbuat demikian di atas syarat-syarat yang memastikan kawalan demokrasi masih di tangan anggota disamping masih dapat mengekalkan taraf autonominya.

5. Pendidikan, Latihan dan Maklumat

Koperasi menyediakan pendidikan dan latihan untuk anggotanya, lembaga yang dipilih, pengurus dan pekerja agar mereka boleh menyumbangkan secara berkesan kepada kemajuan koperasi. Koperasi menyampaikan maklumat kepada orang ramai terutama golongan belia dan ketua-ketua masyarakat berhubung perihal dan faedah berkoperasi.

6. Kerjasama Antara Koperasi-Koperasi

Koperasi membantu anggotanya secara lebih berkesan di samping mengukuhkan gerakan koperasi dengan cara bekerja bersama-sama di peringkat tempatan, wilayah, nasional dan antarabangsa.

7. Prihatin Terhadap Komuniti

Di samping menumpukan kepada keperluan anggota-anggotanya, koperasi juga berusaha untuk membangunkan masyarakat secara mampan melalui dasar-dasar yang diterima oleh anggota-anggotanya.

Sejarah Gerakan Koperasi

Sejarah Gerakan Koperasi

Gerakan Koperasi yang pertama bermula sebelum Revolusi Industri di United Kingdom pada awal abad ke-19. Ianya diasaskan oleh sekumpulan pekerja miskin bangsa Inggeris kerana:

  • Kesengsaraan dan syarat kerja yang terlalu ketat
  • Gaji yang tidak mencukupi
  • Pengangguran yang meluas
  • Pengambilan untung berlebihan yang tidak terkawal
  • Pemalsuan dalam sukatan dan timbangan
  • Kadar kemiskinan yang tinggi
  • Kadar penyakit dan kematian yang kian meningkat
  • Kerahan kerja untuk kanak-kanak seusia 4 tahun
  • Suasana hidup yang menyeksakan
  • Bantahan yang dibuat tidak berkesan

Para pekerja yang tinggal di sebuah perkampungan kecil Inggeris, Rochdale merasakan bahawa mereka perlu bekerjasama. Pakatan 28 orang ini mulai menabung dan berjaya mengumpulkan sebanyak £28 untuk dijadikan modal. Tanggal 21 Disember 1844 menyaksikan titik permulaan gerakan koperasi dimana mereka membuka sebuah Kedai Koperasi di Toad Lane di Rochdale, Lancashire. Kedai Koperasi itu kian meningkat maju dan peristiwa ini kemudian diiktiraf sebagai tarikh bermulanya Gerakan Kerjasama Sedunia. Para pengasas tersebut kini dikenali sebagai Para Perintis Rochdale (The Rochdale Pioneers).

Para Perintis Rochdale

Kedai Koperasi yang diusahakan oleh Para Perintis Rochdale menjual barang-barang runcit seperti tepung, mentega, teh dan juga lilin, tetapi cara perniagaan mereka berbeza dari kedai-kedai runcit yang lain.

Mereka percaya bahawa perbuatan tidak jujur yang diamalkan oleh peniaga runcit lain pada ketika itu seperti membubuh kapur kedalam tepung dan mencampurkan daun-daun kering ke dalam teh harus dihapuskan. Mereka juga percaya bahawa pelanggan berhak mendapat layanan yang baik serta jujur, dan hasil daripada perniagaan itu dikongsi sama. Tidak hairanlah apabila pelanggan hilang kepercayaan pada pekedai-pekedai runcit yang lain dan bertumpu pada Kedai Koperasi.

Pelanggan-pelanggan Kedai Koperasi juga turut menjadi anggota Koperasi tersebut dan mereka juga mempunyai hak dalam perniagaan itu. Prinsip-prinsip yang diamalkan Koperasi itu adalah:

  • Keanggotaan terbuka dan sukerela
  • Kawalan demokrasi (satu anggota, satu undi)
  • Pembahagian keuntungan terhad
  • Dividen diberi mengikut jumlah pembelian anggotanya
  • Peruntukan pendidikan
  • Kerjasama antara Koperasi
  • Neutral terhadap fahaman politik dan kepercayaan agama masing-masing
  • Belian tunai sahaja
  • Barangan dan layanan yang baik dan berkualiti

Tidak lama kemudian, kedai-kedai koperasi mula muncul dan Para Perintis Rochdale mula mendapat perhatian antarabangsa. Walaupun ada kedai koperasi lain yang ditubuhkan lebih awal, tetapi kedai inilah yang paling berjaya dan menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain.

Prinsip-prinsip tersebut masih diterima dan menjadi asas sesebuah pertubuhan koperasi. Walaubagaimanapun, untuk mengekalkan relevansi, prinsip-prinsip tersebut diolah semula, sesuai dengan arus perubahan semasa.

Apa itu Koperasi?

Apa itu Koperasi?

Koperasi ialah sebuah pertubuhan sosio-ekonomi yang didaftarkan di bawah Akta 502 (Akta Koperasi 1993) Malaysia. Pertubuhan ini dianggotai, dimodali dan ditadbir oleh sekumpulan manusia berasaskan semangat dan usaha kerjasama untuk memajukan kepentingan ekonomi dan sosial anggota-anggotanya.

Dalam ertikata lain, koperasi merupakan persatuan yang menjalankan aktiviti perniagaan yang bertujuan membantu dan meringankan beban anggota-anggotanya. Selain mendapat pulangan dalam bentuk dividen, anggota-anggotanya juga menikmati harga yang lebih murah dari pasaran dan kemudahan-kemudahan khas seperti pinjaman dan sebagainya, bergantung kepada koperasi yang dianggotainya.

Sesebuah koperasi ditadbirselia oleh sepasukan Anggota Lembaga yang dilantik secara demokrasi pada Mesyuarat Agung yang biasanya diadakan selepas tiap-tiap akhir tahun kewangan sesebuah koperasi itu. Seorang Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari akan dilantik untuk mentadbir koperasi itu. Lantikan dibuat bedasarkan pada calon yang mendapat undi terbanyak. Setiap anggota berhak mencalonkan seseorang daripada kalangan anggota untuk jawatan Anggota Lembaga.

Perbezaan Koperasi dengan Syarikat Berhad

  • Sesebuah koperasi ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-anggotanya manakala tujuan penubuhan sesebuah syarikat adalah untuk mencari keuntungan semata-mata.

  • Hak milik sesebuah koperasi adalah kepada anggota-anggotanya manakala sesebuah syarikat dipunyai pemegang saham syarikat tersebut.

  • Kawalan sesebuah koperasi dijalankan bedasarkan sistem demokrasi, berasaskan kepada satu anggota, satu undi.

  • Kawalan sesebuah syarikat berhad pula dijalankan bedasarkan jumlah saham yang dipunyainya.

  • Keuntungan sesebuah koperasi dikongsi dikalangan anggota-anggotanya manakala bagi sesebuah syarikat pula, keuntungan dibahagikan antara pemegang-pemegang saham.

  • Nilai saham seseorang anggota koperasi adalah tetap dan boleh dikeluarkan semula. Saham sesebuah syarikat tidak boleh dikeluarkan semula dan nilainya tidak menentu.

  • Pertubuhan koperasi tertakluk kepada Akta Koperasi manakala syarikat tertakluk kepada Akta Syarikat.

Design by Dzelque Blogger Templates 2008

Design by Dzelque Blogger Templates 2008