Monday, March 3, 2008

Mengenai Maktab Kerjasama Malaysia

Latar Belakang



SEJARAH
Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) merupakan satu-satunya institusi pendidikan koperasi di negara ini. MKM telah ditubuhkan dalam tahun 1956 dan diperbadankan sebagai sebuah badan berkanun melalui penguatkuasaan Akta Parlimen pada tahun 1968. Melalui akta tersebut MKM telah diberi tanggungjawab sebagai sebuah institusi yang menyediakan latihan dan pendidikan koperasi untuk gerakan koperasi di negara ini. Kini, MKM telah menjadi sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


SUMBER KEWANGAN
Sebahagian besar perbelanjaan pentadbiran MKM dibiayai oleh Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi yang menerima caruman daripada koperasi¬koperasi di negara ini. Mulai 1969, koperasi-koperasi di Malaysia telah diwajibkan membuat caruman sebanyak 2% daripada keuntungan bersih kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi ini.


PERANAN MKM
Akta Maktab Kerjasama Malaysia 1968 telah memperuntukkan MKM sebagai sebuah institusi yang berfungsi untuk membangun dan mengembangkan latihan dan pendidikan koperasi di negara ini. Antara fungsi MKM ialah:

  • Mengadakan kursus yang berhubung dengan koperasi.
  • Mencetak atau menyiarkan buku-buku mengenai koperasi atau perkara yang berhubung dengannya.
  • Menjalankan penyelidikan dan memberi khidmat nasihat koperasi.
  • Menjalankan penyelidikan berkaitan koperasi.


SASARAN DAN PELANGGAN MKM

MKM menyediakan latihan kepada Anggota Lembaga, anggota dan tenaga kerja koperasi di semua peringkat untuk mewujudkan pentadbiran serta pengurusan koperasi yang beretika, cekap dan berkesan.

Selain itu, MKM juga menyediakan latihan untuk pegawai-pegawai dari Jabatan/Agensi Kerajaan yang mengawasi koperasi di bawah penyeliaannya seperti JPK, RISDA, LPP, LKIM, FELDA, FELCRA, MADA dan KADA. Tidak ketinggalan juga latihan turut diberikan kepada untuk pengurus koperasi dan pegawai-pegawai kerajaan yang menyelia koperasi dari negara-negara sedang membangun di seluruh dunia.

Oleh yang demikian, bermula pada tahun 2000, MKM telah membuka peluang kepada pelajar lepasan SPM untuk mengikuti kursus di peringkat diploma iaitu Diploma Pengurusan Koperasi. Sementara itu, sejak tahun 1998, MKM dengan kerjasama Universiti Leicester UK, telah menawarkan program PJJ untuk pengurus dan pemimpin koperasi. Ini adalah antara usaha-usaha yang dijalankan oleh MKM untuk membangunkan sumber manusia yang terlatih dan profesional dalam gerakan koperasi di negara ini.


KAMPUS CAWANGAN
Terletak di Petaling Jaya dan berhampiran dengan ibukota Kuala Lumpur, MKM mudah dihubungi dengan kemudahan pengangkutan yang sedia ada darat ataupun udara. ini memudahkan masyarakat secara umum dan gerakan koperasi khususnya untuk ke sini.

Kawasan MKM yang dihiasi seni taman yang menarik pula mewujudkan persekitaran yang tenang dan damai. Ciri-ciri yang sebegini menjadikan MKM tempat pilihan untuk mengadakan perjumpaan, mesyuarat, kursus, seminar, bengkel dan sebagainya.

Pada bulan Jun 1997 MKM telah beroperasi di Sabah dan telah menawarkan perkhidmatan di Sarawak pada September 1998.

0 comments:

Design by Dzelque Blogger Templates 2008

Design by Dzelque Blogger Templates 2008